WHK

Penyakit Autoimun

Facebook
Telegram
WhatsApp

Sebelum ini, kita telah mengetahui bahawa type 1 diabetes adalah salah satu penyakit autoimun. Secara asasnya juga, kita telah mengetahui serba sedikit apakah itu penyakit autoimun. Untuk artikel kali ini, mari kita selami dengan lebih mendalam mengenai definisi penyakit autoimun, jenis-jenis penyakit autoimun yang sering ditemui dan faktor-faktor awal yang menandakan seseorang itu mempunyai penyakit autoimun.

Definisi penyakit autoimun adalah keadaan di mana sistem imun seseorang bertindak menyerang sel-sel tubuh badan mereka. Tugas hakiki sistem imun adalah untuk melindungi badan daripada sebarang jangkitan yang disebabkan oleh sel-sel luar seperti bakteria dan virus. Namun bagi mereka yang menghidap penyakit autoimun, imun badan mereka menganggap bahawa bahagian tubuh badan mereka sendiri, seperti kulit dan sendi, adalah sel-sel asing lantas bertindak menyerang bahagian tersebut. Sesetengah penyakit autoimun seperti type 1 diabetes hanya menyerang satu organ tubuh badan sahaja iaitu pankreas tetapi kemungkinan juga ia menyerang lebih dari satu organ seseorang seperti penyakit systemic lupus erythematosus (SLE).

Pakar-pakar kesihatan tidak dapat mengesahkan dari mana punca sesebuah penyakit imun, menjadikan ia sebagai penyakit yang tidak boleh dirawat mahupun dicegah. Pesakit biasanya akan diberikan beberapa jenis ubat atau suplemen untuk menahan sakit dan memberi sedikit kelegaan di samping kerap kali berjumpa dengan pakar-pakar yang berkaitan dengan jenis penyakit autoimun dialamai. Tiada pakar kesihatan spesifik untuk mengendali penyakit autoimun secara umum atas sebab terdapat pelbagai jenis penyakit autoimun dan ia boleh menjangkiti pelbagai jenis organ badan. Sekiranya penyakit autoimun itu membabitkan organ kulit, maka pesakit tersebut perlu berjumpa dengan pakar kulit bagi membincangkan preskripsi ubat-ubatan serta rawatan yang boleh dilakukan untuk membendung penyakit autoimun yang dialami.

Antara penyakit autoimun yang sering ditemui:-

  1. Type 1 Diabetes
  2. Psoriasis
  3. Radang Usus
  4. Multiple sclerosis
  5. Rheumatoid arthritis

Para pakar kesihatan tidak mengetahui apakah punca seseorang itu boleh menghidap penyakit autoimun, namun mereka dapat menyeneraikan beberapa faktor-faktor yang boleh membuatkan seseorang itu berisiko tinggi untuk menghidap penyakit autoimun. Antara faktor-faktornya adalah:-

  1. Genetik – penyakit seperti SLE dan Multiple Sclerosis sering kali dikaitkan dengan pewarisan genetik dalam keluarga.
  2. Berat badan – Berat badan berlebihan atau obesity meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat penyakit autoimun seperti rheumatoid arthritis.\
  3. Merokok – sering kali dikaitkan dengan penyakit lupus, hyperthyroidism dan Multiple Sclerosis.
  4. Ubat-ubatan tertentu – ubat mengawal tekanan darah dan antibiotik tertentu mampu menyebabkan penyakit autoimun tertentu seperti lupus.

Perlu diingatkan bahawa faktor-faktor ini adalah sekadar teori dan bukanlah punca yang sebenar. Punca penyakit autoimun masih lagi dikaji dan setakat ini, masih tidak dapat ditentukan apakah yang menyebabkan penyakit autoimun.

Meskipun tiada ubat dan rawatan yang dapat menyembuh seseorang daripada penyakit autoimun, langkah pembendungan awal adalah sangat digalakkan. Terdapat beberapa simptom yang akan dialami oleh pesakit sebelum didiagnos dengan penyakit autoimun tertentu. Antaranya adalah:

  1. Kepenatan
  2. Sakit Otot
  3. Bengkak dan kemerah-merahan
  4. Keguguran Rambut
  5. Kegatalan Kulit
  6. Kebas pada tangan dan kaki

Sekiranya anda mengalami beberapa simptom yang telah disenaraikan, anda disaran untuk membuat temujanji dengan pakar-pakar tertentu untuk menerima diagnos rasmi dan membincangkan langkah seterusnya. Perlu ditekankan di sini bahawa walaupun penyakit autoimun itu tiada ubatnya, ia tidak patut dibiarkan melarat. Langkah pembendungan perlu dibuat meskipun sangat sukar untuk mengatakan yang hidup pesakit autoimun dapat kembali normal seperti dahulu. Pesakit tidak harus bertindak serah pada takdir dan tidak mahu mengambil sebarang langkah melegakan sakit mereka. Didiagnos dengan penyakit autoimun tidak bermakna anda tidak dapat melakukan perkara seharian anda. Ianya mungkin sedikit berbeza berbanding sebelum anda didiagnos tetapi jangan jadikan ia penghalang untuk anda teruskan hidup seperti biasa.

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_USEnglish