Migrain pada asasnya, adalah rasa sakit kepala yang selalunya dapat dirasai pada satu sisi kepala sahaja. Meskipun migrain adalah sesuatu yang kurang menyenangkan, kita seringkali mengambil ringan tentang kesannya kepada seseorang. Kita akan lebih memilih untuk berehat sebentar atau mengambil ubat-ubatan seperti paracetamol untuk melegakan rasa sakit tersebut. Kebanyakan daripada kita mengambil kira migrain sebagai salah satu perkara normal; sesuatu yang pasti akan dihadapi seseorang sekali-sekala. Migrain juga mudah untuk diubati, jadi ianya bukanlah penyakit yang serius. Tetapi, langkah berhati-hati perlu diambil sekiranya migrain mampu memberi kesan yang teruk kepada anda.
Simptom migrain terjadi dalam empat (4) peringkat;
- Prodrome
Dalam beberapa hari atau jam sebelum anda mengalami migrain, beberapa simptom mungkin akan kelihatan seperti:
- Kepenatan
- Perubahan mood
- Kehausan
- Sensitif dengan cahaya, bunyi atau bau
- Sembelit atau cirit-birit
- Kerap buang air kecil
- Auras
Seseorang boleh mengalami aura sama ada sebelum atau ketika menghidapi migrain. Ia lebih melibatkan penglihatan anda dan akan terjadi secara beransur-ansur antara 5 hingga 20 minit tetapi kurang daripada sejam. Antara simptomnya adalah:
- Halusinasi
- Hilang penglihatan
- Telinga berdengung
- Kesukaran untuk bercakap
- Kebas di tangan atau kaki
- Attack
Migrain akan bermula dengan rasa sakit kepala yang biasa sebelum menjadi lebih teruk. Ia dapat dirasai hanya pada satu sisi kepala, atau di bahagian depan kepala atau keseluruhan kepala. Sekiranya dibiarkan, migrain boleh bertahan selama 4 hingga 72 jam. Kekerapan seseorang untuk mengalami migrain adalah berbeza, namun pada kadar yang normal, migrain boleh terjadi sebanyak 2 hingga 4 kali sebulan. Terdapat kemungkinan juga sebanyak anda mengalami migrain, anda akan rasa mual dan muntah atau hampir pengsan.
- Postdrome
Selepas mengalami migrain, terdapat dua kemungkinan yang akan terjadi. Sama ada akan menjadi terlalu penat atau anda akan berasa lebih segar. Kesan selepas migrain boleh bertahan sehingga sehari selepas rasa sakit kepala anda hilang.
Benar, migrain adalah sesuatu yang normal yang akan dihidapi oleh seseorang dari peringkat remaja sehingga dewasa. Seseorang akan kerap mengalami migrain pada kadar tertentu sepanjang peringkat umur tersebut sebelum ia mulai berkurangan apabila seseorang meningkat usia. Namun begitu, kita perlu lebih berhati-hati sekiranya kita mulai mengalaminya dengan terlalu kerap (lebih daripada lima (5) hari dalam sebulan) kerana ini menunjukkan bahawa peringkat migrain yang dihidapi seseorang menjadi semakin teruk. Seseorang juga boleh dikira mengalami migrain yang teruk apabila ia memberi impak besar kepada kawalan seseorang terhadap tubuh badan mereka.
Sila berhati-hati sekiranya ada kemungkinan anda akan pengsan, percakapan menjadi tidak jelas, lumpuh pada satu atau kedua-dua belah tangan ketika sedang mengalami migrain. Besar kemungkinan migrain adalah simptom awal sebelum anda menghidapi strok atau meningitis. Pada peringkat ini, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan buat migrain anda sebelum ia memberi impak yang lebih teruk kepada tubuh badan anda.
Punca terjadinya migrain dapat dikesan daripada pelbagai sumber seperti kepenatan, stress, menghampiri tarikh datang haid untuk wanita dan juga sesetengah makanan atau minuman. Secara rumusnya, migrain terjadi apabila terdapat perubahan sementara dalam salur darah dan saraf di dalam otak. Seseorang tidak akan sembuh dari migrain secara penuh kerana ia akan kerap muncul semula. Oleh itu, hanya simptom-simptomnya sahaja yang dapat dikawal. Ubat-ubatan seperti paracetamol and ibuprofen adalah antara pilihan utama apabila mengalami migrain kerana kedua-dua ini adalah jenis painkillers di mana rasa sakit kepala tersebut dapat dikurangkan buat sementara waktu. Terdapat juga ubat lain seperti triptans bagi mengundurkan perubahan yang terjadi dalam otak, dan anti-emetics untuk mereka yang mengalami mual dan muntah ketika migrain. Namun untuk kes yang kurang serius, ramai yang mengatakan tidur atau berehat dalam suasana gelap turut membantu untuk mengurangkan rasa sakit kepala.
Migrain sememangnya sesuatu yang normal bagi seseorang tetapi harus kerap dipantau. MIgrain boleh menjadi permulaan kepada penyakit yang lebih serius sekiranya ia tidak dikawal. Jika ia terjadi dengan terlalu kerap dan pada tahap yang sangat menyakitkan, segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan awal. Terlalu berpaut pada ubat-ubatan juga adalah bahaya meskipun ia dapat mengurangkan rasa sakit migrain. Berkemungkinan juga ubat yang dimakan akan menyebabkan rasa sakit kepala yang lebih teruk dan mampu menyebabkan komplikasi yang lain.
Menjaga diet pemakanan anda juga penting kerana migrain boleh terjadi daripada pengambilan sodium yang berlebihan, di mana ia memberi kesan menerusi kadar tekanan darah yang tinggi. Gaya hidup anda turut memainkan peranan dalam mengawal migrain. Tidur yang tidak teratur serta senaman yang berlebihan akan menyebabkan migrain anda menjadi lebih teruk. Oleh itu, pastikan anda mendapat tidur yang cukup dan bersenam pada kadar yang mencukupi. Secara keseluruhannya, kita harus cuba mengawal migrain menerusi pilihan gaya hidup yang tepat berbanding mengharapkan pada ubat-ubatan. Seseorang boleh mengalami migrain lebih dari sekali dalam sebulan, maka kurang sesuai untuk kita mengharap pada ubat sahaja bagi mengawalnya. Diri kita sendiri harus tahu bagaimana untuk mengurangkan rasa sakit kepala tersebut dengan rehat yang cukup dan tidak stress sepanjang masa. Pendek kata, bertenang dan ambil nafas panjang; berehat bila perlu dan tidak perlu terburu-buru.