WHK

Alzheimer

Facebook
Telegram
WhatsApp

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,”

Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas dari mereka yang sudah berusia. Dan ianya telah menjadi satu fakta yang kita sudah fahami; semakin meningkat usia seseorang, ingatan tidak akan lagi kuat seperti dulu. Namun tajuk pada hari ini akan serba sedikit mengubah perspektif tersebut. Tajuk hari ini lebih bertujuan untuk menyatakan walaupun daya ingatan yang merosot adalah perkara biasa bagi mereka yang berusia, mereka masih mampu untuk mengingati perkara-perkara rutin yang telah dilakukan sepanjang kehidupan mereka dan senario kenyataan di atas tidak akan kerap kali berlaku. Akan tetapi, sekiranya ia benar-benar berlaku pada kadar terlalu kerap, kemungkinan seseorang itu menghidap penyakit Alzheimer.

Secara definisinya, Alzheimer adalah gangguan neurological yang berterusan di mana otak seseorang makin mengecut (atrophy) dan sel otak mulai mati. Ianya adalah jenis dementia yang sering kali dihidapi oleh mereka yang mulai memasuki kategori umur warga emas. Alzheimer menyebabkan pesakit mengalami hilang ingatan yang ringan, di samping hilang upaya untuk menyertai sesuatu perbualan dan hanya akan memberi tindak balas mengikut keadaan. Alzheimer melibatkan tiga bahagian otak iaitu yang mengawal fikiran, memori dan bahasa. Namun begitu, kerosakan dalam otak yang membawa kepada Alzheimer lebih banyak terjadi pada bahagian yang mengawal memori. Ianya lantas menjelaskan fakta mengapa Alzheimer sering dilabel sebagai penyakit pelupa.

Fakta umum mengenai Alzheimer adalah ia sering terjadi dalam kalangan warga emas berusia 65 tahun ke atas, namun tidak mustahil bagi mereka yang lebih muda daripada kumpulan umur tersebut untuk menghidapinya sekiranya terdapat sejarah genetik Alzheimer dalam keluarga. Alzheimer mulai terjadi apabila terdapat perubahan dalam otak yang boleh terjadi bertahun-tahun sebelum seseorang didiagnos dengan penyakit ini. Ianya juga adalah penyakit yang akan berkembang menjadi semakin teruk selepas sekian lama dan tiada ubat untuk mengubatinya. Perkara yang boleh dilakukan oleh pesakit adalah memperlahankan proses Alzheimer daripada bergerak ke tahap seterusnya dengan terlalu cepat menerusi langkah-langkah pencegahan dan mengubah gaya hidup yang diamalkan.

Punca Alzheimer tidak dapat ditentukan secara pasti, tetapi pakar berpendapat bahawa ia membabitkan protein di dalam otak yang mulai gagal untuk berfungsi secara normal. Ia lantas menganggu neuron hingga menyebabkannya menjadi rosak, tidak bersambung atau mati. Sesetengah saintis pula berpendapat Alzheimer terjadi menerusi campuran genetik dan gaya hidup pesakit namun peluang untuk seseorang menghidap penyakit ini menerusi genetik adalah kurang daripada 1 peratus, mewakili Alzheimer yang terjadi pada mereka yang berada di kumpulan umur pertengahan. 

Untuk lebih memahami Alzheimer, pengkaji memberi fokus kepada dua protein yang berkaitan dengan penyakit tersebut. Yang pertama adalah beta-amyloid yang merupakan sebahagian daripada protein yang lebih besar. Apabila ianya terkumpul dan membentuk sebuah kluster, ia akan memberi kesan toksik kepada neuron yang kemudian menganggu komunikasi dari sel ke sel lain. Kluster beta-amyloid ini menghasilkan amyloid plaques, lantas menjadikan proses ini dinamakan sebagai Plaques. Protein kedua yang difokuskan adalah protein Tau yang berfungsi sebagai sokongan dalaman untuk neuron dan mengangkut nutrien. Protein ini mungkin berubah bentuk dan apabila ianya mulai tersusun, ia lantas menyebabkan neurofibrillary tangles yang akan menjejaskan keseluruhan sistem angkutan nutrien dan juga beri kesan toksik kepada sel. Keadaan ini digelar sebagai Tangles dan apabila ianya terjadi bersama keadaan Plaques, ia lantas membentuk Alzheimer.

Simptom-simptom Alzheimer selalunya disedari oleh orang sekeliling berbanding terus disedari oleh pesakit sendiri. Ianya sangat penting untuk ahli keluarga dan rakan pesakit untuk merujuk pesakit kepada pakar apabila pesakit mulai menunjukkan 10 tanda-tanda awal Alzheimer ini:

  1. Hilang ingatan yang menganggu kehidupan seharian.

Seseorang mungkin menghidap Alzheimer jika mereka mudah lupa perkara yang baru mereka belajar. Mereka juga akan kerap lupa tarikh-tarikh penting seperti tarikh temu janji dan sambutan ulang tahun. Pesakit turut akan bertanya soalan yang sama berulang kali dan mungkin akan bergantung pada alat bantuan memori seperti aplikasi nota dan peringatan dalam telefon bimbit. Namun, simptom ini berbeza dengan seseorang yang adakalanya terlupa beberapa tarikh penting atau nama tetapi mereka dapat mengingatnya kembali. Perkara tersebut lebih terarah atas faktor umur.

  1. Cabaran dalam merancang sesuatu atau menyelesaikan masalah.

Adakalanya ktia mungkin membuat kesilapan dalam pengurusan bil bulanan rumah serta kewangan peribadi. Senario tersebut adalah perkara biasa apatah lagi sekiranya seseorang makin berumur. Tetapi untuk pesakit Alzheimer, cabaran mereka semakin tinggi apabila mereka semakin sukar untuk menyelesaikan perkara rutin seperti mengikut resipi yang selalu diikuti, membayar bil bulanan dan sebagainya. Pesakit juga akan mengalami masalah sukar untuk fokus dan akan mengambil masa yang lebih untuk menyelesaikan sesuatu perkara.

  1. Sukar untuk menyiapkan tugas rutin.

Pesakit mungkin mempunyai masalah dari segi mencari tempat yang sering mereka lawat atau tidak mampu ingat peraturan yang selalu mereka ikuti seperti kita bermain sesebuah permainan.

  1. Kekeliruan dari segi tempat dan masa.

Mereka yang normal juga adakalanya keliru berkenaan tarikh dan hari apa pada minggu tersebut. Namun yang membezakan mereka dengan pesakit Alzheimer adalah keupayaan untuk mengingat semula secepat mungkin. Ingatan pesakit Alzheimer adalah terlalu terhad sehingga suatu rancangan perlu dilakukan serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan atau salah faham buat mereka. Terdapat kebarangkalian juga bahawa seorang pesakit Alzheimer akan lupa bila, bagaimana dan mengapa mereka berada di suatu tempat.

  1. Bermasalah dalam memahami gambaran visual.

Alzheimer memberi kesan kepada kemampuan visual pesakit. Mereka mungkin akan mempunyai masalah untuk membaca, masalah untuk menentukan jarak dan menentukan warna. Ia lantas memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk memandu. Namun perlu diingat supaya tidak kelirukan simptom ini dengan simptom katarak.

  1. Bermasalah dengan perkataan ketika bercakap atau menulis.

Masalah mengikuti atau menyertai perbualan adalah antara simptom Alzheimer yang paling jelas. Mereka mungkin berhenti bercakap secara tiba-tiba dalam perbualan dan ianya antara mereka tidak tahu bagaimana untuk meneruskan perbualan tersebut (kerana hilang ingatan) atau mereka akan mengulang semula perkara yang telah diperkatakan dalam perbualan tersebut. Mereka juga mempunyai masalah dengan kosa kata serta mungkin menamakan barang yang sering digunakan dengan nama lain. Contoh: jam tangan menjadi ‘gelang masa’.

  1. Salah letak barang dan hilang upaya untuk mengingat kembali.

Terdapat kemungkinan pesakit akan meletakkan barang tertentu di tempat-tempat yang asing dan mereka tidak mampu untuk mengingat semula di mana mereka meletakannya.

  1. Pertimbangan merosot.

Perubahan dari segi pertimbangan dan membuat keputusan akan terlihat jelas pada seorang pesakit Alzheimer. Pertimbangan perihal kewangan mereka akan mulai berkurang dan mungkin juga mereka akan memberi kurang perhatian dari aspek pembersihan diri.

  1. Kerap menarik diri daripada aktiviti kerja atau sosial.

Apabila pesakit mulai sedar bahawa mereka sukar untuk berbual, mereka akan mengelak daripada berjumpa dengan sesiapa.

  1. Perubahan dari segi personaliti dan mood

Disebabkan tekanan daripada segala perubahan negatif yang berlaku, ianya seakan tidak mengejutkan sekiranya seorang pesakit Alzheimer mulai berubah personaliti dan mood dengan kerap. Emosi mereka lebih mudah terganggu dan mereka lebih cepat marah, keliru, murung dan takut. Gangguan emosi ini mungkin juga akan diluahkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan ditambah pula jika pesakit cuba ditarik keluar dari zon selesa mereka.

Tidak semua orang akan menghidap Alzheimer. Ianya berbeza mengikut faktor risiko untuk menghidap Alzheimer yang anda sedang lalui sekarang yang menentukan sama ada peluang anda adalah tipis atau tinggi. Antara faktor risiko tersebut adalah:

  1. Umur 
  2. Sejarah genetik keluarga
  3. Menghidap down syndrome
  • Disebabkan dari 3 kromosom-21. Sama dengan 3 genetik protein untuk menghasilkan beta-amyloid. Alzheimer untuk mereka yang mengalami down syndrome mungkin muncul 10 hingga 20 tahun lebih awal berbanding manusia biasa.
  1. Jantina
  • Perempuan lebih berisiko kerana hidup lebih lama.
  1. Mild Cognitive Impairment (MCI)
  • Kemerosotan dari segi memori dan kebolehan berfikir yang lebih besar dari normal namun tidak menganggu kehidupan harian.
  1. Hentakan di kepala
  2. Pencemaran udara
  • Terdapat kajian yang mendapati partikel dari pencemaran udara dapat menjejaskan fungsi otak.
  1. Pengambilan alkohol berlebihan
  2. Gaya hidup dan kesihatan jantung
  3. Kurang bersenam
  4. Obesiti
  5. Merokok atau terdedah pada asap rokok
  6. Darah tinggi
  7. Kolestrol tinggi
  8. Type 2 diabetes yang tidak dikawal

Alzheimer memberi kesan bukan sahaja dari segi kehidupan seharian, tetapi juga dari segi bagaimana pesakit sebegini ingin mendapatkan rawatan. Disebabkan keupayaan komunikasi mereka yang makin merosot, sukar bagi mereka untuk menjelaskan mengenai sebarang kesakitan atau simptom penyakit lain yang mungkin dialami. Apabila Alzheimer telah berkembang ke tahap terakhir, ia akan turut memberi kesan dari segi fizikal. Pesakit akan mempunyai kesukaran dalam melakukan perkara yang mudah seperti menelan, mengimbangkan diri dan mengawal sistem perkumuhan. Ini lantas menyebabkan pelbagai lagi kesan sampingan seperti malnutrisi dan sakit oral.

Seperti yang kita tahu, Alzheimer sememangnya tiada ubat yang spesifik dan rawatan yang disarankan masih dalam fasa pengkajian. Apa yang boleh dilakukan pada waktu ini adalah mengamalkan langkah-langkah pencegahan agar perkembangan penyakit tersebut dapat diperlahankan atau dielakkan sama sekali. Antara langkah yang digalakkan adalah dengan kerap bersenam serta mengamalkan diet yang melibatkan bahan-bahan segar, minyak yang berkhasiat dan makanan yang mempunyai kurang lemak tepu. Menjaga kadar darah tinggi, kolestrol dan diabetes anda juga penting bagi mencegah Alzheimer dan bagi mereka yang merokok, sangat disarankan untuk anda berbincang dengan doktor tentang cara untuk berhenti merokok. Mungkin tanpa kita sedari, perkara-perkara yang kita anggap tidak berkaitan dengan Alzheimer ini akan melindungi kita suatu hari nanti. Apa yang perlu kita lakukan adalah berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik dan semestinya, kehidupan yang bebas daripada Alzheimer.

Dapatkan Lebih Perkongsian

restaurant, people, men-2602736.jpg

Memahami Food Coma

Umat Islam seluruh dunia telah meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula pada 1 Mei yang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

en_USEnglish