WHK

Ensiklopedia Kanser: Ovari

Facebook
Telegram
WhatsApp

Hari Wanita Sedunia adalah sebuah acara global di mana ia bertujuan untuk meraikan setiap wanita yang sangat bermakna kepada kita semua. Ianya disambut pada setiap 8 Mac, sekaligus menjadikan bulan Mac sebagai bulan istimewa untuk meraikan kaum wanita. Sambutan ini bukan sahaja bertujuan untuk merayakan para wanita yang telah berkorban dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka yang tersayang, tetapi juga sebagai bulan kesedaran mengenai beberapa isu berkaitan diri wanita itu sendiri. Kempen kesedaran mengenai kanser serviks dan penderaan domestik adalah antara acara yang semestinya bakal dirancang oleh pihak-pihak tertentu sepanjang bulan ini, menjadikan sambutan Hari Wanita Sedunia antara konvensyen terbesar yang mengutarakan pelbagai isu penting yang melanda masyarakat kini.

Kami juga tidak ketinggalan dalam menyatakan penghargaan kepada para wanita yang sangat bermakna dalam kehidupan kami, selain turut mengambil peluang ini untuk menyebarkan kesedaran mengenai beberapa penyakit yang akan lebih menghantui kaum wanita berbanding lelaki. Oleh itu, sepanjang bulan ini, kami akan mengarahkan penulisan artikel kami kepada perbincangan mengenai penyakit-penyakit wanita sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran kami. Diharap dengan kempen istimewa ini, ramai akan lebih sedar dan akan mengambil langkah awal dalam mencegah penyakit-penyakit feminin ini.

Untuk minggu ini, kita akan membincangkan mengenai kanser ovari. Seperti yang kita tahu, sesuatu penyakit digelar sebagai kanser apabila sel-sel kanser mula merebak ke organ tertentu dalam keadaan tidak terkawal. Untuk kanser ovari, sel-sel kanser akan merebak ke seluruh ovari sehingga menyebabkan tumor. Terdapat juga beberapa kes di mana sel-sel kanser ini tidak bermula daripada ovari, tetapi dari salur fallopian dan ia merebak ke ovari. Pencegahan pada peringkat awal sememangnya membantu kerana sel-sel kanser tersebut masih belum merebak luas. Namun sekiranya ia dibiarkan lama tanpa sebarang rawatan, sel-sel tersebut akan merebak ke kedua-dua ovari sebelum mula merebak ke organ-organ yang lain.

Kanser ovari adalah antara kanser yang biasa didengari umum atas sebab ianya adalah kanser yang mempunyai peluang sembuh yang agak rendah. Sebab mengapa perkara ini berlaku adalah kerana pesakit hanya dapat disahkan menghidap kanser ovari apabila kanser tersebut sudah pada tahap tiga atau empat. Ianya bukanlah kerana pesakit mengambil mudah simptom yang mereka hadapi, atau disebabkan doktor yang tidak cekap, mahupun teknologi perubatan di negara ini tidak semaju luar negara. Puncanya adalah lebih mudah dari itu; ianya kerana pada peringkat awal kanser ovari, pesakit jarang menunjukkan sebarang simptom sakit. Kejadian alam ini menyebabkan proses untuk mengesan kanser ovari semakin sukar dan apabila ianya berjaya dikesan, kedua-dua pesakit dan doktor yang merawat akan mengalami kesuntukan masa untuk sebarang rawatan. 

Menyedari betapa bahayanya kanser ovari terhadap pesakit, pakar kanser dapat menyenaraikan beberapa simptom awal kepada pesakit tersebut. Meskipun begitu, seseorang tidak semestinya menghidap kanser ovari walaupun menunjukkan beberapa simptom yang disenaraikan. Ianya mungkin juga disebabkan oleh penyakit lain yang mempunyai sangkut-paut dengan simptom-simptom yang diperkatakan. Sekiranya anda mempamerkan beberapa simptom yang disenaraikan ini, sila rujuk kepada pakar yang berkenaan bagi mendapatkan  diagnosis yang lebih tepat. 

Simptom awal kanser ovari:

  1. Perut kembung
  2. Berat badan berkurangan
  3. Tidak selesa di kawasan pinggul
  4. Kepenatan
  5. Sakit belakang
  6. Kerap kencing
  7. Perubahan kitaran haid

Secara asasnya, sesiapa sahaja yang mempunyai ovari berisiko untuk menghidap kanser ini. Namun, terdapat beberapa kumpulan individu yang mungkin lebih berisiko untuk menghidapnya berbanding yang lain. Sekiranya anda berumur 65 tahun ke atas, mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser ovari dan juga obes, peluang untuk anda menghidap kanser ovari adalah tinggi. Risiko anda juga tinggi sekiranya anda menghidap diabetes, merokok dan telah menjalani terapi penggantian hormon untuk mengawal menopaus. Terdapat juga beberapa faktor lain yang kedengaran unik dan tidak disangka mampu menyumbang kepada risko menghidapi kanser ovari, seperti sekiranya anda tidak pernah mengandung atau pun meletakkan bedak talkum di sekitar bahagian kelamin. Hampir kesemua faktor yang disenaraikan lebih berbentuk kepada kawalan kendiri berbanding semula jadi dan ianya bermakna anda boleh mengelak daripada menghidapi kanser ovari. Disebabkan itu, berhati-hatilah dengan pilihan yang anda buat sepanjang hidup anda agar pilihan tersebut tidak akan memakan diri anda di kemudain hari.

Rawatan untuk kanser ovari juga adalah terhad di mana pilihan yang ada hanyalah kemoterapi dan pembedahan. Kurangnya pilihan rawatan turut menandakan kurangnya peluang untuk sembuh. Kadar kelangsungan hidup untuk pesakit kanser ovari bergantung kepada tahap kanser dan bila mereka memulakan rawatan. Sekiranya pesakit memulakan rawatan pada tahap 1 hingga 3, peluang untuk sembuh adalah antara 76 hingga 92 peratus. Manakala pada tahap 4, peluang anda hanyalah 30 peratus. Berita buruk sekiranya anda didiagnos dengan penyakit ini, doktor selalunya hanya dapat mengesahkan anda adalah pesakit kanser ovari apabila anda sudah pada tahap 3 atau 4. Akan tetapi, berita baiknya adalah sekiranya anda kerap menyelia keadaan anda setelah mengalami beberapa simptom awal, kemungkinan kanser ini dapat dikesan lebih awal dan rawatan dapat dipercepatkan. Semuanya terletak pada inisatif anda sendiri sama ada untuk sentiasa memantau kesihatan sendiri atau mengambil mudah mengenai banyak perkara tentang badan anda sehingga semuanya terlambat.

Tiada siapa minta untuk mendapat sakit, apatah lagi dengan penyakit merbahaya seperti kanser ovari ini. Namun, adakah usaha kita untuk mengelakkan perkara ini terjadi sudah mencukupi? Adakah kita memantau keadaan badan kita kebelakangan ini? Adakah kita sudah menghentikan tabiat kita yang boleh menjadi punca untuk menghidap kanser ovari? Ini adalah antara persoalan yang perlu kita tanya kepada diri sendiri sebelum kita dapat berserah kepada takdir. Segala perkara memerlukan usaha sebelum kita dapat membiarkan keadaan sekeliling menentukan apa akan terjadi kepada diri kita. Ambil langkah pertama anda dengan memantau sebarang perubahan pada diri anda dan segera bertemu dengan pakar sekiranya terdapat perubahan yang negatif dan ketara. Inisiatif anda menyumbang kebaikan bukan sahaja kepada diri anda, tetapi juga buat ramai orang yang mungkin akan mengambil inspirasi dari langkah anda.

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMalay