WHK

Ensiklopedia Kanser: Kanser Payudara

Facebook
Telegram
WhatsApp

Hari Wanita Sedunia adalah sebuah acara global di mana ia bertujuan untuk meraikan setiap wanita yang sangat bermakna kepada kita semua. Ianya disambut pada setiap 8 Mac, sekaligus menjadikan bulan Mac sebagai bulan istimewa untuk meraikan kaum wanita. Sambutan ini bukan sahaja bertujuan untuk merayakan para wanita yang telah berkorban dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka yang tersayang, tetapi juga sebagai bulan kesedaran mengenai beberapa isu berkaitan diri wanita itu sendiri. Kempen kesedaran mengenai kanser serviks dan penderaan domestik adalah antara acara yang semestinya bakal dirancang oleh pihak-pihak tertentu sepanjang bulan ini, menjadikan sambutan Hari Wanita Sedunia antara konvensyen terbesar yang mengutarakan pelbagai isu penting yang melanda masyarakat kini.

Kami juga tidak ketinggalan dalam menyatakan penghargaan kepada para wanita yang sangat bermakna dalam kehidupan kami, selain turut mengambil peluang ini untuk menyebarkan kesedaran mengenai beberapa penyakit yang akan lebih menghantui kaum wanita berbanding lelaki. Oleh itu, sepanjang bulan ini, kami akan mengarahkan penulisan artikel kami kepada perbincangan mengenai penyakit-penyakit wanita sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran kami. Diharap dengan kempen istimewa ini, ramai akan lebih sedar dan akan mengambil langkah awal dalam mencegah penyakit-penyakit feminin ini.

Kanser payudara adalah antara kanser yang wajib diperkatakan setiap tahun pada Hari Wanita Sedunia. Pejuang kanser payudara diraikan dengan kata-kata semangat dan adakalanya juga, disokong dengan wang ringgit bagi membiayai rawatan mereka. Perjuangan menghadapi hidup dengan kanser payudara mulai menjadi simbol kekuatan dan inspirasi kepada wanita untuk bangkit dan bertahan. Namun begitu, segala sokongan ini bukanlah bermakna menghidapi kanser payudara itu adalah perkara yang menyeronokkan. Seperti kanser-kanser yang lain, ianya masih satu penyakit merbahaya yang pakar perubatan masih mencuba untuk mencari ubatnya.

Sel kanser payudara terhasil daripada bahagian dalaman payudara itu sendiri. Payudara mempunyai beberapa bahagaian iaitu:

  • lobules – kelenjar yang menghasilkan susu
  • ducts – saluran daripada lobules yang membawa susu ke puting payudara
  • puting – ruang bukaan pada kulit payudara di mana ia menggabungkan semua saluran susu badan menjadi satu saluran yang lebih besar bagi mengeluarkan susu. Ianya dikelilingi oleh kulit yang lebih tebal dipanggil areola
  • Stroma – lemak dan tisu penghubung antara saluran dan lobules
  • Saluran darah dan limfa

Sel kanser payudara boleh bermula dari mana-mana bahagian dalam payudara. Perbezaan antara kesemua bahagian ini adalah sekerap mana sel kanser dapat dijumpai pada bahagian tersebut. Kerap kali, sel kanser payudara dapat dijumpai pada bahagian lobules dan ducts, serta dikenali sebagai lobules cancer dan ductal cancer (ductal carcinoma in situ – DCIS) di mana keduanya lebih berbentuk kepada carcinoma – sel kanser yang tumbuh pada organ. Sel kanser boleh dijumpai pada bahagian lain tetapi ianya tidak sekerap bahagian lobules dan ducts. Sel boleh dikesan pada puting payudara (Paget disease of the breast), atau pada stroma (phyllodes tumor) atau mungkin juga pada salur darah dan limfa (angiosarcoma). Sel kanser yang dijumpai selain daripada bahagian lobules dan ducts jarang terjadi dan adakalanya, ia tidak diambil kira sebagai kanser payudara. Seperti angiosarcoma, ia adalah kanser jenis sarcoma yang lebih terarah kepada tisu badan maka ramai pakar tidak menganggapnya sebagai kanser payudara. Namun begitu, anda masih boleh didiagnos dengan jenis kanser yang lain kerana sel-sel kanser masih ada.

Seperti setiap jenis kanser, kanser payudara juga mempunyai tahap yang menentukan kadar pertumbuhan sel kanser dan sejauh manakah ianya telah merebak ke seluruh badan. Tahap untuk kanser payudara bermula daripada 0 hingga 4 di mana setiap tahap mempunyai kadar kritikal yang berbeza:

  1. Tahap 0 – kanser payudara pada tahap ini dipanggil ductal carcinoma in situ (DCIS) di mana sel kanser tersebut hanya ada pada bahagian duct dan belum merebak.
  2. Tahap 1 – sel masih belum memberi kesan kepada nod-nod limfa atau terdapat sekumpulan kecil pada nod-nod limfa
  3. Tahap 2 – tumor menjadi sebesar 2 cm dan merebak ke nod-nod berdekatan, atau tumor bersaiz 2-5 cm tetapi tidak merebak ke nod-nod berdekatan.
  4. Tahap 3 – tumor sebesar 5 cm atau lebih telah merebak ke beberapa nod limfa.
  5. Tahap 4 – sel kanser telah merebak ke organ lain seperti limpa, otak dan paru-paru.

Hanya disebabkan anda seorang wanita dan mempunyai payudara, ia tidak bermakna anda seratus peratus akan mendapat kanser payudara. Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan peluang seseorang untuk menghidapnya, dan tidak semestinya hanya wanita sahaja yang akan menghidap penyakt ini. Oleh itu, sama ada anda lelaki atau wanita, anda perlu berhati-hati dengan faktor-faktor yang mempengaruhi kadar peluang untuk menghidap kanser payudara serta simptom yang anda perlu perhatikan sebelum rujuk kepada pakar sakit puan.

Faktor yang mempengaruhi peluang seseorang untuk menghidap kanser payudara:

  1. Umur – kadar risiko anda meningkat dengan usia.
  2. Keturunan – anda lebih berisiko sekiranya terdapat sejarah pesakit kanser payudara dalam keluarga anda.
  3. Tisu payudara yang padat
  4. Terdedah kepada estrogen – kadar estrogen yang tinggi mampu meningkatkan risiko untuk seseoang menghidap kanser payudara. Ianya dapat dicegah dengan menyusukan anak dengan susu ibu selama lebih daripada setahun.
  5. Obesiti.
  6. Pengambilan alkohol.
  7. Terdedah kepada radiasi.
  8. Rawatan hormon – melakukan terapi penggantian hormon akan membuatkan seseorang lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara.
  9. Menstruasi bermula terlalu awal – anda lebih berisiko sekiranya kitaran menstruasi anda bermula sebelum berumur 12 tahun.
  10. Menopaus terlalu lewat – wanita mula menopaus pada usia antara 45 hingga 55. Sekiranya anda mula menopaus pada usia yang lebih lewat, kemungkinan anda berisiko untuk menghidap kanser payudara.
  11. Lambat menimang cahaya mata pertama – anda lebih berisiko sekiranya anda mula melahirkan anak pada usia lebih 30 tahun.
  12. Tidak pernah mengandung

Simptom kanser payudara:

  1. Ketulan pada payudara.
  2. Perubahan  pada saiz, bentuk atau rupa payudara.
  3. Perubahan pada kulit payudara seperti lekuk.
  4. Puting terbalik.
  5. Kulit menggelupas pada sekeliling areola atau kulit payudara.
  6. Kemerahan pada payudara.

Kanser payudara mempunyai reputasi sebagai antara kanser yang sukar dirawat pada mulanya. Namun dengan rawatan dan teknologi perubatan moden, penghidap kanser payudara dapat menarik nafas lega dengan mengetahui terdapat beberapa cara untuk merawat kanser ini. Seperti biasa, ia lebih melibatkan kepada rawatan berbentuk terapi seperti terapi hormon, biologi, radiasi dan juga kemoterapi. Tidak ketinggalan juga, pesakit boleh memilih untuk menjalani pembedahan bagi membuang sel atau organ yang telah dijangkiti oleh sel kanser tersebut. Terdapat pelbagai jenis pembedahan bagi merawat kanser payudara. Antaranya ialah:

  • Lumpectomy: pembedahan membuang tumor dan tisu sekeliling.
  • Mastectomy: pembuangan hampir keseluruhan payudara yang mempunyai sel kanser.
  • Biopsi nod sentinel: Nod sentinel adalah nod pertama yang boleh dijangkiti oleh sel kanser dan ia boleh merebak kepada seluruh sistem limfa. Namun sekiranya pakar bedah tidak menjumpai sel kanser pada nod tersebut, tiada keperluan untuk membuangnya.
  • Pembuangan nod limfa di kawasan ketiak: sekiranya pakar bedah menjumpai sel kanser pada nod sentinel, pesakit disyorkan untuk membuang nod limfa di kawasan ketiak untuk mengelak pembiakan sel.

Tiada siapa dapat menjangka mereka akan menghidap kanser payudara, sama ada lelaki atau wanita. Oleh itu, langkah berhati-hati dan pencegahan perlu dilakukan dengan inisiatif sendiri. Mulakan dengan mempraktik gaya hidup sihat yang hanya melibatkan pengurangan kadar pengambilan alkohol, lebihkan buah-buahan dan sayuran serta memantau indeks berat badan masing-masing. Sekiranya anda berasa sangsi dengan kadar risiko anda dan ingin memeriksa keadaan payudara anda, sangat disarankan supaya anda rujuk kepada pakar sakit puan mengenai ujian payudara yang anda. Bagi mendapat lebih kepastian, anda boleh melakukan ujian-ujian pengimejan seperti mammogram, ultrasound dan MRI bagi mengesan sebarang tumor dengan cepat dan tepat. 

Inisiatif yang anda ambil akan memberi kebaikan pada diri sendiri. Maka, jangan ragu-ragu untuk merujuk kepada pakar sekiranya anda telah lihat sebarang simptom. Mencegah sekarang adalah lebih baik daripada merawatnya kemudian. Meskipun segala proses ujian dan pengimejan kelihatan mengambil masa yang lama serta remeh, ia dapat membantu anda dalam menyusun pelan kehidupan anda selepas ini. Tatkala ramai memilih untuk menikmati masa sekarang, anda telah setapak ke hadapan dengan mengambil berat mengenai kesihatan anda. Ianya adalah satu kejayaan buat anda dalam memastikan tubuh badan anda terus sihat dan berada dalam keaadaan yang baik.

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMalay