WHK

Diabetes & Puasa

Facebook
Telegram
WhatsApp

Pada awal kegiatan penulisan artikel di laman web MyCoopMed ini bermula, artikel pertama yang diterbitkan adalah mengenai perbezaan antara diabetes type 1 dan type 2. Menerusi artikel tersebut, kita mulai faham bagaimana seseorang boleh menghidap diabetes type 2 dan bagaimana ianya berbeza dengan diabetes type 1. Artikel tersebut turut menjelaskan bahawa sekiranya seseorang menghidap diabetes; penyakit yang disebabkan oleh pengambilan gula yang tidak terkawal; ia tidak bermakna pesakit tersebut dilarang untuk makanan yang bergula secara keseluruhannya. Pesakit diabetes berisiko untuk mengalami hypoglycemia yang menandakan paras gula dalam badan terlalu rendah sehingga boleh membahayakan nyawa jika tiada langsung pengambilan gula. 

Ianya lantas membuatkan kita tertanya-tanya; bagaimanakah seorang pesakit diabetes Muslim berpuasa pada bulan Ramadan ini sekiranya terdapat risiko untuk mereka menghidap hypoglycemia? 

Ramai berpendapat bahawa diabetes adalah salah satu penyakit yang sering dihidapi oleh rakyat di negara ini, dan menerusi pemerhatian umum, kebanyakan pesakit diabetes dilihat masih mampu untuk berpuasa. Kemungkinan menerusi perspektif umum juga, mereka yang menggunakan alasan diabetes untuk tidak berpuasa adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana terdapat ramai pesakit diabetes lain yang menghdiap penyakit yang sama namun masih mampu untuk berpuasa penuh. Ini lantas dapat menimbulkan stigma buruk kepada para pesakit diabetes, hanya kerana terdapat sekumpulan minoriti yang kurang didedahkan kepada umum berbanding kumpulan majoriti.

Tahap keseriusan diabetes terhadap seseorang adalah berbeza; terdapat golongan pesakit yang hanya perlu mengawal pengambilan gula dan juga terdapat golongan yang perlu menyuntik hormon insulin ke dalam badan kerana ia tidak dapat lagi dihasilkan secara semulajadi. Terdapat juga golongan diabetes type 1 di mana ianya lebih kepada penyakit autoimun dan tidak banyak dipengaruhi oleh pengambilan gula dan gaya hidup kurang sihat. Bagi mereka yang hanya perlu memerhatikan pengambilan gula serta mengambil ubat-ubatan yang tidak menyebabkan hypoglycemia, besar kemungkinan golongan ini masih lagi mampu untuk berpuasa. Malah, sangat disarankan kepada kumpulan ini untuk berpuasa kerana ia dapat membantu dalam pengawalan tahap gula dalam badan. Dengan kurangnya rintangan terhadap insulin, tubuh badan akan lebih peka dengan insulin yang terhasil secara semula jadi lantas kandungan gula dalam badan dapat dikawal.

Kelonggaran (rukhsah) mulai diberikan kepada pesakit diabetes yang sememangnya tidak mampu untuk berpuasa atas dasar risiko kesihatan. Golongan ini jatuh dalam kalangan mereka yang uzur atau tidak sihat tubuh badan, salah satu syarat wajib puasa. Mereka yang berada di dalam kumpulan ini selalunya adalah pesakit diabetes type 2 yang sudah mula dengan suntikan insulin berjadual dan pesakit diabetes type 1. Risiko untuk mereka menghidap hypoglycemia adalah lebih tinggi jika mereka tetap bertegas untuk berpuasa. Walau bagaimanapun, kadar risiko itu adalah sesuatu yang perlu dibincangkan dengan doktor yang memberi konsultasi kepada pesakit kerana kadar tersebut juga berbeza mengikut pesakit. 

Sesetengah pesakit diabetes yang mempunyai risiko lebih tinggi memilih untuk menetapkan semula kadar suntikan insulin yang perlu diambil supaya bersesuaian dengan tempoh mereka berpuasa. Cara ini dilihat berkesan namun untuk sesetengah pesakit, ianya mungkin tidak sesuai. Setiap pesakit diabetes diberikan preskripsi untuk mengambil beberapa dos insulin setiap hari dan adakalanya ia dapat diolah bagi memastikan badan mereka sedia untuk berpuasa buat beberapa jam. Namun bagi mereka yang sememangnya bergantung kepada suntikan insulin seperti pesakit diabetes type 2 yang sudah mengalami komplikasi diabetes seperti rabun atau sakit buah pinggang dan pesakit diabetes type 1, preskripsi dos yang diberikan tidak dapat diubah meskipun pesakit ingin melakukannya agar ianya sesuai dengan tubuh mereka ketika berpuasa. Pada ketika ini, nyawa mereka adalah lebih penting dan mereka sudah jatuh pada kategori uzur, lantas hukum puasa terhadap mereka menjadi tidak wajib.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan oleh pesakit diabetes yang tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadan? Meskipun mereka tidak wajib untuk berpuasa sepanjang bulan tersebut, mereka masih perlu mencari cara untuk menggantinya. Seperti mana ada antara kita yang tahu, sekiranya kita tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadan, kita diberi pilihan untuk menggantikan hari-hari puasa yang ditinggalkan pada bulan-bulan yang lain atau membayar sejumlah fidyah kepada pusat zakat. Ianya terletak kepada pesakit untuk memilih ‘pembayaran hutang’ jenis apa yang mereka kehendaki. Sekiranya pesakit rasa mereka mampu untuk menggantikan hari puasa yang ditinggalkan, maka teruskan. Namun tiada paksaan untuk melakukan puasa ganti kepada mereka yang sememangnya tidak dapat berpuasa sepanjang tahun. Mereka boleh memilih pilhan untuk membayar fidyah bagi menggantikan hari yang ditinggalkan dengan jumlah yang sepatutnya.

Islam adalah sebuah agama indah yang dicipta oleh Allah s.w.t yang Maha Mengasihani. Kelonggaran (rukhsah) dalam berpuasa kepada golongan yang uzur adalah antara bukti ihsan-Nya terhadap mereka yang beriman kepada Islam. Kita sebagai hamba perlu bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan ini, namun ia tidak bermakna kita tidak perlu usaha untuk menunjukkan keabdian kita kepada-Nya. Seandainya kita sudah melakukan pengabdian kita sebaik mungkin tetapi terdapat rintangan yang menimpa, percayalah bahawa Allah s.w.t telah mendengar keluhan hamba-Nya dan mengurniakan kemudahan baginya menerusi pelbagai cara. Apa yang penting, kita telah berusaha sedaya upaya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam sebelum kita dapat menikmati kelonggaran yang dikurniakan oleh Allah.

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMalay