WHK

Memahami Food Coma

Facebook
Telegram
WhatsApp

Umat Islam seluruh dunia telah meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula pada 1 Mei yang lalu. Bagi kita semua yang berada di Malaysia, sambutan tahun ini adalah antara yang paling bersejarah kerana kita ‘dikejutkan’ dengan tarikh perayaan yang berganjak sehari awal berbanding tarikh hari raya pertama yang tercatit pada kalendar-kalendar edaran tempatan. Pelbagai detik panik tetapi lucu dirakam oleh para pengguna media sosial sehari sebelum bulan syawal tiba, menghiburkan ramai hati yang turut bersiap sedia pada malam tersebut. Hari raya aidilfitri tahun ini semestinya antara memori berhari raya yang tidak dapat dilupakan, apatah lagi setelah dua tahun menyambutnya dalam suasana PKP. 

Dalam suasana panik dan tergesa-gesa bagi menyiapkan segala kelengkapan, sambutan pada hari raya pertama dilihat masih lagi dapat berjalan dengan lancar dan paling penting, dalam keadaan normal seperti sebelum era pandemik bermula. Kebanyakan dari kita telah datang berkunjung-kunjungan ke rumah-rumah saudara mara dan sahabat handai sambil menikmati juadah hari raya yang menjadi norma dalam masyarakat kita. Kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia yang semestinya diwarnai dengan pelbagai juadah tempatan yang enak membuatkan aktiviti berziarah menjadi lebih menyeronokkan. Keseronokan ini membuatkan kita ingin berjamuan lagi pada hari esok dan seterusnya, meraikan kemenangan umat Islam dalam melawan nafsu sepanjang bulan Ramadhan yang lalu.

Kemungkinan ramai antara kita pernah mengalami situasi sebegini; anda telah menjamu selera dengan sepuas hati sehingga akhirnya anda hanya mampu tersandar pada sofa atau dinding rumah. Entah bagaimana, tubuh anda berasa letih dan mata anda mulai kuyu. Adakah perkara ini terjadi kerana anda makan berlebihan? Jawapannya adalah ya, atau lebih tepat lagi, mungkin anda telah mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak pada satu masa. Keadaan ini dipanggil sebagai postprandial somnolence atau lebih dikenali sebagai food coma di mana tubuh anda merasai kekurangan tenaga atau keletihan setelah makan. Ianya bukanlah satu penyakit atau keadaan yang serius, tetapi sekiranya anda tidak mahu terlalu cepat berasa letih sepanjang aktiviti ziarah, terdapat beberapa perkara yang anda perlu ketahui mengenai food coma.

Food coma boleh terjadi kepada seseorang atas beberapa faktor yang merangkumi saiz makanan yang diambil, jenis makanan dan waktu makan. Anda lebih terdedah kepada food coma sekiranya anda mengambil kuantiti makanan yang berlebihan pada suatu masa, iaitu kuantiti yang tidak disyorkan untuk metabolisma anda. Peluang anda untuk mengalaminya akan menjadi lebih tinggi sekiranya makanan yang anda ambil merangkumi jenis karbohidrat, protein dan lemak. Setiap satu kumpulan makanan tersebut menghasilkan pelbagai kimia kepada tubuh yang boleh menyebabkan mengantuk dan keletihan. Sebagai contoh, karbohidrat meningkatkan jumlah trytophan dalam darah anda yang kemudian akan membuatkan lebih banyak hormon serotonin merembes dan menyebabkan anda berasa mengantuk. Tryptophan juga terkandung dalam keju, susu, ikan, telur, ayam dan tauhu; merumuskan bahawa protein juga mampu menyebabkan food coma.

Terdapat juga nama lain untuk food coma yang dipanggil sebagai post-lunch dip. Ini disebabkan keadaan seperti ini sering terjadi setelah waktu makan tengah hari. Bagi mereka yang mengambil kuantiti makanan yang banyak pada waktu tengah hari, anda lebih berpeluang untuk mengalami food coma kerana pada ketika ini, tubuh kita akan mengalami kekurangan tenaga sektiar pukul 2 hingga 5 petang sebelum kembali meningkat pada sebelah petang. Kekurangan tenaga berserta memakan pelbagai jenis makanan yang dapat menyebabkan keletihan, sememangnya food coma hampir pasti tidak dapat dielakkan. Tempoh untuk menghadapi food coma juga tidak dapat ditentukan, tetapi ianya boleh bertahan selama empat jam bagi sesetengah individu. Sekiranya anda mempunyai banyak rumah untuk diziarahi ketika hari raya, food coma semestinya bakal menjadi satu masalah untuk anda. Tambahan pula jika anda adalah pemandu kenderaan dan mempunyai pelbagai destinasi untuk diziarahi.

Berita gembiranya adalah food coma dapat dirawat tanpa ubat dan kesannya dapat dilihat dengan pantas. Terdapat pelbagai cara untuk menanganinya, seperti;

  1. Berjalan-jalan selepas makan. Tidak perlu merangkumi jarak yang jauh, cukup sekadar untuk meringankan badan.
  2. Makan dalam kuantiti yang sedikit. Pastikan ia cukup untuk memenuhi metabolisma anda.
  3. Tidur sebentar pada waktu tengah hari. Tunggu sebentar sebelum tidur sekiranya anda baru sahaja selesai makan. Tidur selama 1-2 jam adalah memadai.

Mungkin ada di antara kita yang berfikir ‘raya hanya setahun sekali, makanlah ikut suka hati’ atau ‘bulan puasa dah puas berlapar, raya kena puas makan’. Tiada siapa menghalang anda untuk menikmati pelbagai jenis makanan sepanjang aidilftri ini. Tiada siapa juga mengatakan anda salah untuk memakan apa jua makanan yang anda inginkan. Namun sekiranya anda fikir bahawa gaya pemakanan anda tidak akan mendatangkan apa-apa impak pada masa hadapan, perkara itu sama sekali adalah mustahil. Meskipun anda mengamalkan pemakanan yang lebih menjurus kepada mineral dan protein sahaja, ianya masih memberi kesan kepada tubuh badan anda. Pilih diet yang paling sesuai dengan anda; sesuai dengan tubuh, selera dan kepuasan hati anda. Meskipun pada musim perayaan ini, kami yakin anda masih dapat memenuhi selera anda di samping menjaga kadar nutrien yang anda ambil.

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMalay